Johan sukar menerima tawaran lain lebih-lebih lagi melibatkan sebuah projek filem kerana lebih mengutamakan karier sebagai penyampai radio di Hot FM. Johan atau nama sebenarnya Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, 39, berkata, dia bimbang sekiranya tidak dapat melunaskan tanggungjawab apabila terikat dengan sebarang komitmen lain.
Lebih 15 tahun berkecimpung dalam bidang seni, pelakon dan pelawak itu berkata, dia kini lebih mengutamakan kehidupan yang lebih berkualiti bersama keluarga. “Kerja radio pukul 4.30 pagi saya sudah terjaga dan bergerak ke tempat kerja. Jadi, saya perlu rehat yang cukup. “Kalau terima tawaran filem, saya bimbang ada komitmen dengan orang lain. Setiap hari pun saya tidur awal, lepas waktu Isyak, pukul 9 malam sudah masuk tidur. Tidur lewat sekalipun, pukul 4.30 pagi mesti saya sudah terjaga. Bangun tiada masalah, selalunya hendak tidur itu yang susah,” katanya.
Johan disenarai pendek sebagai lima Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular (ABP) termasuk empat rakan penyampai lain iaitu DJ Lin dan Tyzo dari Suria FM, DJ Sonic (Nasional FM) dan Haiza (Kool 101). Bapa enam anak itu juga diberi tanggungjawab kali pertama untuk mengendalikan malam kemuncak ABP bersama pelakon dan pengacara, Ain Edruce, Jumaat nanti. Untuk rekod, Johan pernah membintangi filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Raya Tak Jadi, Libas, Bujang Terlajak, Uncle Usin, Berani Punya Budan dan Papadom 2. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT