Wafiy Aan ingin membuktikan dirinya kini sudah dewasa dan tidak mahu lagi terikat dengan imej pelakon cilik. Wafiy mahu menyerlahkan sisi berbeza dirinya dan tidak lagi dikenali sebagai seorang pelakon kanak-kanak.
Justeru itu, dia merancang untuk tampil dengan single baharu bagi menunjukkan bakat terpendam dan membuktikan dirinya kini sudah matang. "Seperti yang ramai sudah tahu, saya memulakan kerjaya lakonan bersama Astro Ceria. Sehingga kini, masih ramai yang menganggap saya budak-budak. "Saya mahu buktikan saya bukanlah Wafiy yang ada di Astro Ceria, tetapi seorang lelaki yang sudah matang.
"Sekarang ini pun saya dalam proses mencari single baharu. Saya mahu pilih lagu yang membuatkan saya nampak lebih matang," katanya kepada mStar. Bagaimanapun dia tidak mampu menghalang stereotaip penonton yang masih menganggap dirinya sebagai pelakon kanak-kanak. "Jika masyarakat masih tidak boleh membuang pandangan menganggap saya masih pelakon kanak-kanak, saya tak boleh nak halang juga. "Mungkin mereka terlalu banyak menonton saya daripada kecil... tetapi sekarang saya memilih watak-watak yang lebih matang," ujarnya.
Sementara itu, Wafiy turut memberitahu dia diberi kepercayaan oleh stesen televisyen untuk menjadi penerbit dan pengarah dalam sebuah telemovie. "Alhamdulillah saya pun sudah diberi peluang oleh Astro untuk menerbit dan mengarahkan telemovie sendiri," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Wafiy dipilih sebagai salah seorang peserta program realiti Real Men Malaysia: Wira Merah yang akan bersiaran di Astro Ria bermula 30 Julai ini. Kata Wafiy, menyertai program ini merupakan salah satu usaha memaparkan sisi sebenar yang ada dalam dirinya.
"Saya sudah pun berusia 21 tahun dan saya ambil projek ini sebagai fasa pertukaran saya daripada seorang yang dikenali sebagai kanak-kanak berubah menjadi lelaki sebenar. "Sejujurnya saya dalam fasa untuk menjadi lelaki fit sebab saya pun seorang pelakon... saya juga mahu berlakon genre aksi. "Sekarang saya sedang cuba untuk menukar perspektif dan mahu memperlihatkan kepada orang ramai yang saya sudah dewasa," katanya. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|