Kota Tinggi: Seorang anak peneroka di Felda Bukit Aping Timur di sini mampu meraih pendapatan sampingan lebih RM3,000 sebulan dengan mengusahakan kebun jagung di kampung tersebut. Fadzil Ramlan, 55, berkata, dia yang sebelum ini pernah menjalankan perniagaan sendiri memang memasang impian untuk menetap di kampung dan menceburkan diri dalam bidang pertanian selepas ‘pencen’.
Bapa kepada lima orang anak itu berkata,a dia mengambil jurusan dalam bidang pertanian ketika belajar Universiti Putra Malaysia (UPM) satu ketika dahulu. “Saya memang minat pertanian tetapi lepas habis belajar keperluan untuk mencari duit ketika itu lebih utama berbanding minat. Jadi selepas habis belajar saya sempat bekerja makan gaji sebagai pengurus ladang ayam selama lima tahun.
“Selepas itu saya buat perniagaan ayam dari bela ayam hingga jual ayam segar. Ketika itu saya ada pekerja sendiri dan mampu jana pendapatan lebih RM20,000. Jadi masa muda saya banyak diberikan tumpuan kepada perniagaan dengan menetap di bandar. “Sebab itu saya tanam impian untuk ‘pencen’ pada usia 50 tahun dan mahu menetap di kampung. Bakat dalam bidang perniagaan turun kepada anak-anak dan saya kini hanya makan peratusan yang saya labur kepada mereka,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Fadzil berkata, tumpuannya sekarang adalah ladang jagung yang diusahakan secara santai itu yang mana idea menanam jagung bermula selepas perancangan bersama ahli bloknya dalam usaha untuk membantu menambahkan pendapatan terutama buat ibu tunggal dan suri rumah. Katanya, kini sebanyak 10,000 pokok jagung telah ditanam di tanah seluas setengah hektar itu yang turut dibantu dua orang ahli bloknya. Sumber: Kosmo! Online
|
ADVERTISEMENT