Johan Abdullah, 75, yang terkenal satu masa dulu dengan watak 'mat saleh' kini berdepan masalah jantung pula selepas disahkan menghidap angin ahmar tiga tahun lalu. Isterinya, Sarepah Mariam Aboo, 50, berkata, pada 31 Julai ini, Johan akan menjalani pemeriksaan jantung di Hospital Serdang.
"Pada 28 April lalu, Johan disahkan menghadapi masalah jantung selepas pemeriksaan kesihatan dijalankan akibat dia kerap berpeluh biarpun keadaan badannya sejuk. "Paling membimbangkan, Johan kerap jatuh di bilik air akibat keadaan tubuhnya yang masih belum stabil akibat angin ahmar, dan kini masalah jantung pula," katanya ditemui di rumahnya sewanya di Taman Mantau Indah. Katanya, dia pula berdepan masalah tulang belakang dan tiroid menyebabkannya sukar membantu Johan apabila suaminya terjatuh. Pada masa sama, katanya, suaminya hanya memakan pasta atau roti sahaja akibat kurang selera.
Menurut Sarepah, buat masa sekarang, mereka hanya bergantung sumbangan bulanan RM565 daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains). "Wang itu kami gunakan untuk belanja makan selain persekolahan anak, Abdullah Musa, berusia 12 tahun serta Orchid Raihani, berumur tujuh tahun," katanya. Sarepah bagaimanapun bersyukur kerana Allah SWT sentiasa mempermudahkan urusan keluarga mereka. "Syukur dan terima kasih kepada anak-anak yang membantu membayar sewa rumah serta menjelaskan bil utiliti," katanya. Sementara itu, Johan berkata, dia amat berharap supaya Abdullah Musa dapat menyambung pelajaran di mana-mana maahad tahfiz. "Abdullah Musa berminat untuk menyambung pendidikan di sekolah tahfiz. Ini kerana, dia berimpian untuk menjadi guru agama," katanya. Pada masa sama, menurut Johan, dia turut mendapat berita gembira apabila menerima surat taraf kewarganegaraan Malaysia yang sudah lama dipohon sejak tinggal di negara ini kira-kira 50 tahun lalu. "Saya masuk ke Malaysia pada 1974 dan syukur kerana kini, saya adalah warganegara Malaysia. "Terima kasih kepada semua yang membantu serta prihatin dengan kami selama ini. Hanya Allah SWT yang dapat membalas jasa kalian," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT