Walaupun sibuk menjadi pensyarah di Kolej Seni Kreatif di Universiti Teknologi MARA (UiTM), pelakon Vanidah Imran, 49, tetap membahagikan masa buat kerjaya lakonannya. Katanya dia perlu meneruskan kerjaya sebagai pelakon agar dapat memberi contoh yang baik dan ilmu berguna buat pelajarnya.
Namun, dalam masa sama dia kini lebih teliti dalam pemilihan naskhah berbanding sebelum ini. "Saya kini mengajar di UiTM dan bila saya mempunyai pelajar, saya perlu memastikan kerja yang dilakukan berkualiti memandangkan pelajar juga akan menonton dan menjadikan rujukan. "Namun, naskhah bagaimana yang dipilih, sukar untuk ditentukan. Ia bergantung pada perkembangan karakter dan skrip kerana ia memainkan peranan.
"Apa yang dilakukan ini bukanlah bebanan, sebaliknya menjadi tanggungjawab. Misalnya sebagai ibu bapa, saya perlu menjadi contoh terbaik buat anak sama juga sebagai seorang guru. "Jadi, saya perlu berada dalam landasan supaya boleh berkongsi dengan pelajar mengenai apa yang berlaku, 'trend' terkini dan masalah industri," katanya kepada BH Online. Dalam masa sama, graduan Sarjana Seni Persembahan (Drama), Universiti Malaya (UM) itu mengakui, menjadi anak seni bukanlah mudah.
"Ia berbeza apabila anda melakukan filem pendek di peringkat universiti, berbanding keluar dan bekerja dalam dunia realiti. Ia permainan yang berbeza. "Perkara ini banyak saya kongsi dengan pelajar, di mana mereka perlu tahu dan hati pula kena kental.
"Saya sudah bertemu beberapa pelajar di lokasi penggambaran dan mereka mengakui cabaran yang dihadapi. "Saya faham kita boleh beri amaran di kelas dan banyak berkongsi, tetapi pelajar tidak boleh bayangkan bagaimana apabila menjejakkan kaki dalam dunia realiti. "Apapun, ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dan pengalaman," katanya.
Vanidah akan kembali memasuki penggambaran bagi drama bersiri, Karma terbitan platform Over The Top (OTT), Viu Malaysia. "Saya tidak kata tak mahu buat drama di stesen televisyen (TV) nasional. Sebab ada juga skrip yang bagus. "Seperti sebelum ini, saya menjayakan drama Sengkabung untuk TV Sarawak (TVS). Ia drama bergenre mistik" -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|