Malang nasib komander kapal selam Rusia yang mati ditembak ketika berjoging pada Isnin lalu. CNN melaporkan Stanislav Rzhitsky dibunuh awal minggu di bandar Krasnodar di selatan Rusia oleh orang yang tidak dikenali, lapor agensi berita negara Tass, sambil menambah bahawa motif pembunuhan masih dalam siasatan.
Difahamkan, mangsa mungkin menjadi sasaran penyerang dengan menjejakinya menerusi kemudahan aplikasi Strava yang popular untuk senaman larian, menurut media Rusia. Jawatankuasa Penyiasatan Rusia menerusi Telegram berkata, seorang lelaki ditahan berkaitan dengan pembunuhan Rzhitsky. Menurut agensi itu, suspek ditahan itu memiliki pistol dilengkapi silencer (penyenyap) yang mungkin digunakan dalam jenayah berkenaan. Terdahulu, media Rusia melaporkan bahawa pembunuh Rzhitsky mungkin menggunakan Strava, aplikasi yang tersedia secara meluas digunakan oleh pelari dan penunggang basikal, untuk mengikuti pergerakan mangsa.
Laluan joging dan berbasikal biasanya dilalui Rzhitsky terdapat pada akaun atas namanya pada aplikasi Strava termasuk taman tempat dia dibunuh di Krasnodar. Satu saluran media Rusia, Tsargrad, berkata penyerang merancang pembunuhan itu dengan sangat berhati-hati sehingga detik serangan itu tidak terakam pada mana-mana kamera litar tertutup (CCTV). Pembunuh dipercayai menunggu di taman berhampiran kompleks sukan Olympus, tempat Rzhitsky kerap berjoging pada waktu pagi. Rzhitsky mati serta-merta di lokasi dia ditembak, manakala si penembak masih belum dikesan. Profil Strava yang mengandungi nama Rzhitsky menunjukkan bahawa dia juga pernah berbasikal di Sevastopol pada 2014, lokasi pangkalan armada Laut Hitam Rusia CNN tidak dapat mengesahkan ketulenan profil Strava, tetapi kandungan yang ada termasuk banyak gambar Rzhitsky. Perisikan Pertahanan Ukraine mendedahkan situasi bagaimana Rzhitsky nampaknya ditembak, dalam kenyataan terperinci luar biasa agensi itu di Telegram. Namun, agensi itu tidak secara jelas bertanggungjawab ke atas kematian komander itu. "Komander kapal selam itu sedang joging di taman 30th Anniversary of Victory di Krasnodar. Kira-kira 6 pagi, dia ditembak tujuh kali dengan pistol Makarov. Akibat luka tembakan itu, Rzhitsky terbunuh di tempat kejadian," kata kenyataan agensi itu. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT