Menyedari pasti ada yang tidak menyenangi tindakannya menggugurkan saman terhadap bekas madu, Ira Kazar atas dakwaan mengganggu rumah tangganya, Puteri Sarah Liyana menjelaskan dia ada sebab tertentu melakukannya.
Katanya, ada ketika dia perlu berkorban demi penyelesaian terbaik berhubung kemelut rumah tangganya. “Sarah tahu ramai marah, tetapi Sarah perlu buat apa yang dirasakan betul. “Orang luar mungkin tak faham dan tak tahu apa yang Sarah lalui. Biarlah Sarah dan keluarga tahu kita sudah lakukan yang terbaik dalam hidup. “Sebelum ini ya, memang kita nak lawan. Namun, adakalanya kita perlu berkorban untuk mendapat kebaikan,” katanya kepada Utusan ketika ditemui di sebuah acara di Jalan Sungai Penchala, semalam. Kemelut antara Puteri Sarah dengan Ira berakhir 5 Julai lalu selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur merekodkan penghakiman persetujuan kedua-dua pihak.
Terdahulu, aktres itu memfailkan saman terhadap Ira atas dakwaan mengganggu rumah tangganya, malah turut menamakans kakak bekas madunya, Yasmin dan bapa mereka, Kazar atau nama penuhnya Kazaruddin Saisi. Puteri Sarah dan pengarah terkenal Syamsul Yusof sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. – CARI |
ADVERTISEMENT