Penyanyi, Misha Omar, 41, turut kurang senang dengan tindakan biadab segelintir individu yang lantang menghukum dan mempersendakan fizikal seseorang di media sosial. “Tengok muka depan cermin, adakah diri sendiri sempurna? Mulut terlalu mudah mengata orang.
“Saya rasa ramai yang menjalani kehidupan yang agak bitter dan menggunakan media sosial untuk melempiaskan kekecewaan dengan menjadikan orang lain sebagai mangsa. “Perkara ini boleh menjadi ‘barah’, jadi kepada yang suka menghina rupa paras orang lain, nasihat saya, bersahabatlah dengan cermin,” luahnya. Misha mengulas tentang tindakan dangkal segelintir netizen yang menghina dan menyamakan rupa paras juara program Big Stage musim ke-5, Nadeera Zaini dengan sejenis haiwan. Dalam masa yang sama, Misha juga menasihatkan Nadeera agar tidak membiarkan komen negatif di media sosial menghancurkan semangatnya untuk menjadi penyanyi yang berjaya.
“Nadeera adalah penyanyi yang bagus dan imej setiap penyanyi akan datang seiring (bakat). “Contoh terdekat adalah Ernie Zakri dan Aina Abdul yang menjadi diri mereka hari ini selepas melalui fasa-fasa tertentu. “Kita kena biarkan bakat-bakat baharu berkembang, berikan mereka masa,” ujarnya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT