“Saya tidak kecewa tidak disambung di bawah pucuk pimpinan sekarang, kerana rezeki saya adalah daripada Allah, bukan manusia." Demikian tepis bekas personaliti TV dan aktivis sosial, Datuk Ras Adiba Mohd. Radzi yang didakwa menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana kecewa tidak disambung jawatan sebagai Ahli Dewan Negara dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Jelasnya kepada Utusan Malaysia, penyertaannya ke Bersatu adalah kerana menyokong aspirasi parti itu dan demi kesejahteraan rakyat di samping mahu terus memperjuangkan nasib golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini. “Penyertaan saya dalam Bersatu adalah menyokong aspirasi parti ini dan demi kesejahteraan rakyat. Selain daripada orang kurang upaya (OKU) untuk warga emas, saya masuk Bersatu demi keseluruhan masyarakat di Negeri Sembilan khususnya kampung saya di Seri Menanti,” jelasnya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mendakwa Ras Adiba pernah membisik kepadanya agar memberitahu bapanya yang juga Timbalan Perdana Menteri agar disambung jawatan Senator dan Pengerusi Bernama. Nurulhidayah membuat dakwaan tersebut dalam satu hantaran di Instagram berharap keputusan Ras Adiba menyertai Bersatu bukan disebabkan dua jawatan tersebut tidak disambung kerajaan. Pada Ahad lalu, aktivis OKU itu diumumkan menyertai Bersatu pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan. Mengulas lanjut, Ras Adiba mengakui pernah berbisik mengenai hasratnya itu kepada Nurulhidayah agar kedua-dua jawatan disambung supaya dapat terus berbakti demi memperkasa golongan OKU. Namun, beliau agak sedikit terperanjat dengan tindakan itu kerana menyifatkan bisikan tersebut sebagai satu rahsia dan bukannya untuk didedahkan kepada umum. “Memang benar sebagai seseorang berpangkat kakak atau adik, saya berbicara mengenai tugas saya sudah berakhir di Bernama dan Senator. Saya beritahu pada beliau jika ada peluang, saya ingin terus bertugas, tidak lebih daripada itu. “Bagaimanapun saya terima kasih kepada Datuk Nurul kerana bagi saya ruang di media sosial, bermula itu ramai lebih tahu pembabitan saya dalam Bersatu,” katanya.
|
ADVERTISEMENT