Beberapa tahun tidak beraksi di pentas susulan masalah kesihatan membuatkan Penyanyi rock popular, Yantzen mengakui sangat rindu seperti apa yang pernah dilakukannya suatu ketika dulu.
“Sejujurnya, kalau ditanya, memang saya rindu. Tipulah kalau saya kata tidak. Dulu semasa muda-muda kalau nampak tiang, saya dah panjat semua itu atau buat aksi somersault (balik kuang). “Saya memang akan ke sana ke mari di atas pentas supaya peminat boleh beri tumpuan pada saya dan lupakan muzik,” katanya. Yantzen atau nama penuhnya Yantzen Juniwan berkongsi perkara berkenaan pada sidang media pengumuman Konsert Rock Dulu Dulu di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Hulu Kelang baru-baru ini. Jelas Yantzen lagi, disebabkan faktor kesihatan dia terpaksa mengubah rentak sewaktu menghiburkan peminat iaitu dengan beraksi berhampiran mikrofon saja. “Kalau ingin beraksi seperti dulu, memang agak susah. Lagipun bila usia kita semakin meningkat, seperti saya yang sudah mencecah 65 tahun, tenaga juga dah tak sama. “Sama juga dari segi nyanyian pula, saya perlu kurangkan banyak key tapi mengambil pendekatan untuk fokus pada pernafasan. Kalau mampu kekalkan stamina, insya-Allah saya boleh kawal vokal dengan baik,” ujarnya. Dalam pada itu, vokalis Rusty Blade itu turut berkata, mendedahkan dia sudah lama menanggung penyakit misteri yang bukan saja menyebabkan dia sakit kaki malahan turut mengakibatkannya sukar tidur malam. Tambahnya, meskipun dia sudah melakukan pemeriksaan doktor, peserta program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh itu menjelaskan, dia gagal mendapat jawapan bagi merungkai jenis penyakit yang dihidapi. Justeru, katanya, dirinya kini berikhtiar pula melalui penggunaan ubat-ubatan tradisional bagi mengurangkan sakit tersebut. Mengulas lanjut berkenaan penglibatannya dalam Konsert Rock Dulu Dulu, Yantzen berkata, dia akan membuat persembahan selama sejam dengan membawa lagu-lagunya yang pernah digemari ramai suatu ketika dulu. “Kebetulan, nasib saya baik apabila ditawarkan untuk menyertai konsert ini. Rezeki kita ya. Antara lagu-lagu akan saya bawakan seperti 'Meniti Suratan', 'Tiada Lagi' dan 'Insan',” jelasnya. Selain Yantzen, konsert berkenaan akan turut dijayakan oleh barisan penyanyi lain seperti Zamani Slam, Lan Solo, Hatta Junction, Acheed Def Gab C, dan Alim Kris. Konsert anjuran Lowcost Fiesta Tour dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) itu dijadual menemui peminat di Padang Kunak, Sabah 25 hingga 30 Ogos ini. Sumber: Getaran
|
dudaberhias replied at 10-7-2023 10:44 PM
penyakit misteri apooooooooooooooo...
sah2 kacip... tengok muka dari 1km pun dah nampak kopi kacip ...
ADVERTISEMENT