Pelakon Sabri Yunus, 61, percaya pempengaruh (influencer) yang penuh sifat sombong dan enggan perbaiki cara kerja tak akan kekal lama jika menceburi bidang lakonan. Sabri atau nama sebenarnya Mohd Sabri Yunus menekankan bahawa mana-mana pempengaruh yang ingin berjaya dalam lakonan perlu ada usaha keras tingkatkan daya lakonan.
Dulu sebelum pempengaruh, pelakon yang ada wajah. Selepas itu, pelakon yang tinggi pengikutnya barulah pempengaruh. Ketiga-tiga ini semakin berkurang daya lakonan mereka. "Tidak salah pun pempengaruh itu. Yang salahnya apabila mereka kekal dalam keadaan begitu. Sepatutnya ambil peluang sesudah diberi ruang, cuba belajar. "Isu orang nak tengok dan pengikut mereka ramai, sudah selesai. Sekarang kena selesaikan pula kemampuan dan daya lakonan. "Ada sesetengah tak ambil peluang itu yang datang dengan segala kesombongan, tahu mereka laku, tak nak ubah fikiran, itu jadi masalah sebab mereka tak akan kekal," katanya pada previu filem Merewang Keluarga Pak Awang, baru-baru ini.
Sabri yang juga pengarah tersohor berpendapat mentaliti pempengaruh yang beranggapan mereka sentiasa laku perlu ditukar kerana bukan semua pengikutnya akan menyokong produk lakonan mereka. "Pempengaruh tahu stesen nakkan mereka kerana rating, bukan lakonannya. Bukan semua pengikut nak ikuti kita di skrin. Peratusan (tinggi) pengikut kita cuma di media sosial saja. "Pelakon yang datang dengan ilmu, kami orang lama pun boleh belajar dengan mereka. Itu bagus," kata Sabri juga teraju utama telefilem yang mencetus fenomena tersendiri Pok Ya Cong Codei. Sebelum ini, pelakon dan pengarah filem, Adlin Aman Ramlie, 51, menyarankan pempengaruh yang diangkat menjadi artis supaya tidak bersikap 'diva'. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT