Selepas 12 tahun tidak melahirkan cahaya mata, Syura atau Zuraidah Badron, 37, mengakui cabaran yang dilalui membuatkannya menangis. Bukan kerana sakit, sebaliknya bangga mengenangkan jasa yang dilakukan seorang ibu dalam membesarkan anak-anak.
"Sakit badan, tak cukup tidur itu semua dah jadi kebiasaan. Sampai satu tahap, kita menangis sendiri. "Bukan menangis sebab sakit tapi nangis sebab bangga dengan pengorbanan yang kita buat demi membesarkan anak-anak," katanya. Syura berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory. Dalam pada itu, Syura menzahirkan rasa kagum dengan semangat kaum ibu yang mampu menjaga anak-anak mereka tanpa bantuan pembantu rumah. Syura juga memohon doa supaya mereka terus diberikan kesihatan dan kekuatan untuk menghayati momen sebagai seorang ibu. "Semoga Allah berikan kesihatan dan kekuatan untuk kita menikmati keseronokkan momen sebagai ibu... ia satu pengalaman sangat berharga," ujarnya. Dalam pada itu, penyanyi lagu Nazam Berkasih ini turut meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan seorang suami yang memahami dan banyak membantu menguruskan hal anak-anak. Pada 12 Mac lalu, Syura selamat melahirkan bayi lelaki secara normal di salah sebuah hospital di Johor Bharu, Johor. Menerusi temu bual bersama mStar, Syura meluahkan rasa teruja namun dalam masa sama berasa sedikit janggal. Walaupun dikurniakan tiga cahaya mata sebelum ini, Syura menganggap ia sebagai satu pengalaman baharu.
|
ADVERTISEMENT