Chukai: Kerajaan negeri Terengganu akan menyiasat jika wujud kegiatan pembalakan di lokasi tragedi kepala air di Jeram Air Putih yang mengorbankan 10 nyawa. Bagaimanapun setakat ini Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kejadian kepala air itu bukan berpunca daripada kegiatan pembalakan di kawasan berkenaan.
Katanya, kegiatan pembalakan di kawasan itu dikatakan sudah lama dihentikan sebelum ini. Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan menyemak semula perkara berkenaan. "Itu kita kena periksa balik di mana (sebab) banyak kayu balak lama. Kita kena kenal pasti dahulu di mana kawasan-kawasan yang berlaku aktiviti pembalakan dijalankan," katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih, di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, pihaknya percaya kejadian itu berlaku disebabkan hujan lebat yang menjurus kepada kejadian kepala air di kawasan berkenaan. "Kepala air memang berlaku apabila taburan hujan yang lebat dalam waktu singkat yang tertumpu pada satu-satu kawasan dan semua saluran air itu melalui satu saluran sahaja (iaitu) sungai berkenaan. "Ia umpama mencurah air di satu lorong yang sempit dan kita difahamkan mangsa tidak sempat untuk menyelamatkan diri," katanya. Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan membantu untuk memudahkan urusan ahli keluarga mangsa selama mereka berada di sini. "Sekiranya ada apa juga keperluan-keperluan tambahan itu, boleh maklum kepada kami dan insya-Allah kita akan cuba bantu," katanya. Setakat ini, hanya enam mayat ditemui dengan empat daripadanya ditemui hari ini, manakala dua lagi ditemui semalam. Mayat mangsa yang ditemui adalah Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal, 11; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziq Ziqree, 6, dan Putri Aryana Umaira, 4. Empat lagi mangsa yang belum ditemui adalah Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah, 16; Putri Nor Fatin, 14, dan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT