Terbaharu, dalam satu perkongsian di Facebook, seorang pengguna membuat hantaran meluahkan rasa geram dengan sikap segelintir individu yang tidak bertanggungjawab membuang organ haiwan korban merata-rata selepas selesai melaksanakan ibadah tersebut.
Individu tersebut membuat hantaran berkenaan dalam grup Facebook Kuala Terengganu Residen, dalam loghat negeri berkenaan. "Sejenis manusia yang tak cerdik. Buat ibadah korban molek (baik) dah tapi otak tak guna. Kalau tak pandai urus, beri kepada orang yang pandai urus. Kalau tidak, tanamlah benak! "Kamu ingat pergi buang dekat tong majlis (perbandaran) macam tu mereka datang kutip segera ke, benak? Dengan busuk kohong (bau seperti bangkai) gitu, dengan lalat hurung, dengan ulatnya. "Bukan satu, sampai dua tiga bahagian pergi buang dekat tong sampah. Ibadah korban macam mana aku tak tahulah puak ini," luahnya.
Bersama-sama hantaran tersebut, dia turut memuat naik sekeping gambar memaparkan organ haiwan korban seperti usus dan lemak yang hanya diletakkan di sebelah deretan tong sampah. Kesemua bahan buangan tersebut tidak dibungkus sebaliknya dibiarkan terdedah begitu sahaja. Individu yang membuat perkongsian itu bagaimanapun tidak menyatakan lokasi dan waktu gambar tersebut dirakam. Sementara itu menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya turut sependapat dengan individu berkenaan dan mengecam tindakan tidak bertanggungjawab golongan yang melakukan perkara tersebut. Sebagai peringatan bersama, sisa atau bahagian lembu korban yang hendak dibuang juga perlu diuruskan dengan baik seperti dibungkus dalam plastik agar ia tidak mengundang haiwan liar seperti anjing. Walaupun tiada dalil yang menyebut ia perlu ditanam, namun sudah menjadi tanggungjawab untuk membuangnya seperti sisa makanan lain dengan cara yang betul dan selamat. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT