Suspek kes pembunuhan bersiri melibatkan racun sianida di Thailand, Sararat ‘Am’ Rangsiwuthapirn yang ditahan di penjara Institusi Pemulihan Wanita Pusat keguguran, lapor Thaiger. Pengarah Institusi Pemulihan Wanita Pusat, Soraya Ritthiaram pada 23 Jun lalu berkata, Sararat keguguran beberapa hari sebelumnya akibat toksemia kehamilan.
Komplikasi itu disebabkan hipertensi (darah tinggi) dan kerosakan pada sistem organ lain seperti hati atau buah pinggang. Pada hari kejadian, Sararat yang hamil enam bulan merasakan jantung anaknya terhenti dan melaporkannya kepada pengawal penjara sebelum dia dibawa ke Hospital Besar Polis. Seorang doktor mendiagnosis Sararat menghidap toksemia akibat hipertensi yang menyebabkan dia kehilangan bayinya. Selepas rawatan perubatan, Sararat dipindahkan semula ke penjara dan ditempatkan di bilik penjagaan selama dua hari sehingga keadaannya bertambah baik.
Soraya berkata, pihak penjara kerap melakukan pemeriksaan kesihatan untuk banduan hamil dan Sararat tidak menunjukkan tanda-tanda mengalami keguguran. Dia juga menegaskan bahawa perbuatan berjalan terlalu banyak atau makan makanan yang salah bukan punca Sararat keguguran. Sararat pernah mengalami beberapa kali keguguran sebelum ini. Dia dilihat tidak menangis atau menunjukkan sebarang emosi susulan kejadian itu. Peguam Sararat, Thannicha Ek-suwannawat berkata, dia akan membuat permintaan bedah siasat kepada jabatan berkaitan untuk mengenal pasti punca kematian bayi tersebut. Dia akan mengumpul bukti untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap Timbalan Pesuruhjaya Diraja Thai (RTP), Surachate ‘Big Joke’ Hakparn dan pasukannya bagi meminta mereka bertanggungjawab kerana memberi tekanan terhadap sehingga suspek keguguran. Sumber: Kosmo! Online
|
ADVERTISEMENT