Tindakan seorang lelaki membawa pisau di dalam sebuah kereta api di Jepun mencetus keributan penumpang yang cuba melarikan diri keluar dari tren tersebut dalam keadaan panik. NHK melaporkan, kekecohan itu menyebabkan dua lelaki mengalami kecederaan akibat terjatuh.
Bagaimanapun, individu yang mencetuskan kekecohan di dalam kereta api Laluan Yamanote di Stesen JR Shinjuku itu berjaya diberkas polis yang bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan. Setibanya di stesen berkenaan, lelaki itu sudah meletakkan pisau kepunyaannya di atas tempat duduk di dalam kereta api. Namun, polis mendapati tidak ada sebarang tanda yang menunjukkan bahawa lelaki berkenaan bertindak agresif terhadap orang awam menggunakan senjata itu, lapor akhbar Mainichi Shimbun. Dalam pada itu, pegawai penyiasat memaklumkan, lelaki tersebut mendakwa dirinya sebagai tukang masak, manakala pisau yang dibalut dengan kain tuala itu sebenarnya dibawa dari tempat kerjanya.
Katanya lagi, pisau itu terdedah apabila tuala tersebut tertanggal dan dilihat penumpang yang berada di situ. Untuk makluman, perkhidmatan Laluan Yamanote digantung selama kira-kira 20 minit bermula dari pukul 4 petang sebagai langkah keselamatan. Walaupun sudah beroperasi seperti biasa pada Ahad, namun ia mengalami sedikit kelewatan. Sumber: Majoriti
|
ADVERTISEMENT