Bintang veteran, Datuk Jalaluddin Hassan, 69, dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, sejak Rabu lalu, akibat jangkitan kuman dalam saluran kencing.
Jalaluddin berkata, pemeriksaan lanjut akan dibuat bagi memastikan tiada penyakit lain yang timbul ekoran jangkitan itu. "Keadaan saya semakin pulih. Cuma doktor akan terus pantau dan melakukan beberapa prosedur rawatan lanjut. "Ini termasuk mengambil sampel darah untuk mengesan jika ada penyakit lain yang timbul susulan jangkitan itu. "Selain sakit pada bahagian pinggang dan berasa pedih setiap kali nak kencing, usus saya juga tidak selesa. Keadaan itu agak mengganggu apabila saya hendak buang air besar," katanya. Berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan itu, doktor menyarankan supaya pelakon filem Imam dan Syaitan Munafik ini berehat di hospital dan melupakan seketika soal kerja.
"Kalau ikutkan, hari ini juga saya ingin keluar. Tetapi doktor tidak izinkan kerana keadaan saya masih belum stabil. "Berjalan pun masih terhoyong-hayang. Saya juga pakai tag merah yang bermaksud tidak dibenarkan untuk discaj," katanya.
|
ADVERTISEMENT