Hampir 10 tahun Yatt Hamzah berhijrah dalam imej baru selepas memulakan karier sebagai seorang model dan pelakon yang tidak bertudung. Sedekad berlalu, Yatt Hamzah yang memulakan karier sejak 2002 merindui beraksi di hadapan kamera dan menyatakan kesediaan sekiranya ditawarkan sebarang watak bersesuaian dengan penampilannya sekarang.
“Sangat rindu sebab sudah lebih 10 tahun tak berlakon. Kalau kena dengan watak-watak yang bersesuaian saya terima seadanya. “Namun, sebelum ini ada kekangan sebab saya merupakan ibu sepenuh masa yang menjaga anak-anak di rumah. Buat perniagaan sendiri pun dari rumah sahaja. Itu yang menjadi halangan selama ini. “Tetapi sekarang anak-anak sudah makin membesar dan mungkin tiada masalah kalau saya tinggalkan untuk keluar bekerja,” katanya. Berkongsi pengalaman membesarkan anak, Yatt yang pernah popular menerusi drama Dunia Baru ini berkata, dia tidak pernah melepaskan tanggungjawab tersebut dengan mengupah pengasuh.
Bimbang dengan keselamatan, katanya, dia mahu anak-anak berada di bawah jagaan bersama suami sendiri. “Selama ini memang saya fokus membesarkan anak-anak sendiri sebab itu jarang muncul di televisyen. Saya ini memang seorang ibu yang cerewet lebih-lebih lagi bab anak, kebersihan dan makanan. “Risau juga hendak bagi orang lain jaga sebab nanti asyik teringat-ingat anak sendiri. Biarlah anak pada usia yang matang untuk ditinggalkan. “Tambah pula pernah berlaku kes pada individu terdekat dengan saya. Ada kejadian yang berlaku sampai dia buat laporan polis disebabkan kesalahan pengasuh,” katanya. Yatt ditemui ketika majlis sidang akhbar program Salam Baitullah yang bersiaran selama 15 episod di saluran TV1, Berita RTM, 123 My TV dan RTM Klik pada musim kali ini. Bertemakan Penyucian Jiwa, Kemuncak Ibadah, ini adalah kemunculan semula dirinya dalam bidang pengacaraan selepas kali terakhir menjadi hos rancangan, lima tahun lalu. “Sudah lama tak keluar televisyen jadi saya perlu membuat banyak persediaan. Antaranya saya menonton semula video-video rancangan yang lepas serta bertanya pengacara sebelum ini. “Selain itu, saya perlu melatih diri dengan mengurangkan bahasa pasar dengan memantapkan perbendaharaan kata,” ujarnya. Pada masa sama, Yatt juga terkejut apabila dirinya diberikan kepercayaan oleh pihak RTM mengendalikan segmen media sosial bagi rancangan tersebut. “Saya ini baru sangat dengan TikTok. Kalau dulu ada pengikut yang ramai sehingga mencecah 700,000 dalam Instagram tetapi tiba-tiba hilang akibat digodam, tahun lalu. “Rasa kecewa juga sebab bukan hilang pengikut semata-mata, tetapi banyak video kenangan sejak saya belum ada anak hingga sudah ada ramai anak,” katanya. Sumber: Utusan
|
telracs replied at 21-6-2023 11:19 AM
Memang perlu eh, ramai pengikut?
Btw, dia ni kategori cantik juga la kan
ADVERTISEMENT