Marang: Seorang lelaki yang dalam perjalanan untuk makan malam di Pantai Peranginan Kelulut maut selepas motosikal ditungganginya melanggar sebuah Proton Persona yang membuat pusingan 'U' di KM 19 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, dekat Kampung Seberang Marang, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian 9.13 malam itu, mangsa, Wan Shahril Izwan Wan Mohd Kamalrubahrum, 20, dari Kampung Batu Putih, di sini, yang parah di kepala meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) jam 10.30 malam. Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang Yamaha Y15ZR dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kelulut. Katanya, kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu Proton Saga, guru lelaki berusia 52 tahun yang mengajar di Kulim, Kedah dalam perjalanan dari arah sama dikatakan berhenti di sebuah kedai menjual satay di kiri jalan.
Menurutnya, selesai membeli satay, lelaki terbabit membuat pusingan 'U' untuk ke rumah mentuanya di Kampung Rusila, di sini. "Pada masa sama, mangsa dikatakan gagal mengelak sebelum melanggar tepi kanan kereta terbabit. "Akibat perlanggaran itu, mangsa parah di kepala dan dikejarkan ke HSNZ sebelum disahkan meninggal dunia," katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT