Kuala Lumpur: "Saya setuju dan sokong usaha kerajaan, tetapi jangan nak menunggu itu dan ini kerana benda dah (sudah) lama. "Jika ada bukti, teruskan saja...tak perlu lengahkan..," kata Selamat Omar, bapa kepada Mohd Khairuil Amri salah penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370.
Selamat, 68, atau mesra disapa Pak Selamat memberi reaksi itu ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang memberi jaminan bahawa kerajaan akan mempertimbangkan operasi pencarian selanjutnya jika terdapat maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh berhubung pesawat MH370. Menurut Selamat, sekalipun yakin anaknya sudah tiada namun sebagai waris, dia masih menanti perkembangan terkini daripada kerajaan dan pihak berkuasa.
"Apa yang penting ada berita, ada perkembangan kerana saya nak tahu betul ke hilang atau jatuh? "Ia kerana kehilangan pesawat itu sudah lama dan macam tiada kesudahan. "Jadi, mana yang munasabah (tindakan selanjutnya) teruskan saja, saya sokong kerana nak tengok hasil macam mana. "Lagipun, sehingga kini, saya masih terkesan dengan kehilangan pesawat itu malah tersinggung dengan jenaka pelawak wanita yang mempersenda MH370," katanya ketika dihubungi Harian Metro. Seorang lagi waris MH370, G Subramaniam, 64, masih menanti perkembangan lanjut mengenai pesawat MH370 yang dinaiki anak sulungnya, S Puspanathan dan masih belum ditemui sehingga kini. "Tak tahu nak kata apa kerana sudah lebih sembilan tahun kejadian itu berlalu. "Sebagai bapa, saya masih lagi terkenangkan anak saya itu jadi sambut baik saja jika kerajaan nak teruskan pencarian. "Ia kerana sebagai waris, kami masih masih terkesan dan mengharap ada petunjuk baharu ditemui," katanya. Pada 8 Mac 2014, dunia gempar dengan berita kehilangan pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pesawat yang berlepas jam 12.41 tengah malam dan dijadualkan mendarat di Beijing, China jam 6.40 pagi hari yang sama itu dilaporkan hilang daripada radar Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA). Misi pencarian pesawat itu masih belum menemukan sebarang petunjuk kukuh bagi menjawab segala persoalan misteri kehilangannya yang disahkan berakhir di tengah Lautan Hindi, barat Perth, Australia. Sumber: Harian Metro
|
blue_blur replied at 17-6-2023 10:28 AM
sila kumpul fund sesama sendiri, atau create crowdfunding sendiri untuk teruskan pencarian.
mejaputih replied at 17-6-2023 11:53 AM
Benda ni dah di luar kemampuan kerajaan...nk buat mcm mana kan..berat mata memandang lg berat bahu ...
ADVERTISEMENT