Kuantan: Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Pekan tidak sedarkan diri disebabkan strok haba ketika melakukan aktiviti larian sejauh lebih empat kilometer. Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, hasil pemeriksaan awal di Hospital Pekan mendapati pelajar lelaki itu mengalami simptom seperti suhu badan terlampau tinggi melebihi 39 darjah selsius, degupan jantung meningkat serta percakapan dan fungsi otak terjejas.
“Pesakit telah diberi rawatan hidrasi dan rawatan ‘supportive,'” katanya di sini, hari ini. Katanya lagi, pesakit yang dirujuk ke Hospital Pekan kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut. Beliau memberitahu pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAA dan keadaan semakin stabil. Sementara itu Nor Azimi berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan mengehadkan aktiviti di luar ketika cuaca panas.
“Gunakan pelindung diri dan sentiasa mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal atur suhu badan serta sentiasa mengawasi gejala keletihan dan strok haba. “Orang ramai juga dinasihatkan agar segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas,” ujarnya. Sumber: Kosmo! Online |
ADVERTISEMENT