Sungai Siput: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sudah membuat pemantauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Perwor dekat Lasah, di sini, susulan 'serangan' sekawan gajah, Rabu lalu.
Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan, membabitkan enam gajah pada 2 pagi. Bagaimanapun, katanya, 'serangan' itu hanya membabitkan kemusnahan harta benda sekolah dan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa terhadap orang awam. "Beberapa anggota daripada Unit Tindakan Gajah (UTG) sudah meninjau ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat bagi tujuan kawalan dan pemantauan.
"Kawanan gajah itu sudah ditembak halau masuk ke kawasan hutan semula. Kemungkinan kawanan mamalia itu keluar dari habitatnya untuk mencari sumber makanan," katanya ketika dihubungi malam tadi. Dalam kejadian itu, sekumpulan enam gajah dikatakan memasuki kawasan sekolah itu menerusi pagar kecil di tepi bangunan kelas prasekolah di situ. Haiwan itu kemudian merosakkan keseluruhan tingkap, ruangan kelas, dan dapur kelas prasekolah berkenaan, berdasarkan kepada kesan tapak kaki. Terdahulu, serangan gajah di sekolah itu dimuat naik melalui perkongsian pengguna akaun Facebook (FB) Rassidee Rasid yang dipercayai bekas guru yang pernah mengajar di sekolah itu suatu ketika dahulu. SUmber: BH Online
|
ADVERTISEMENT