Seremban: "(Kedudukan) KJ (Khairy Jamaluddin) setakat ini belum putus lagi, tapi dia sudah menyatakan pendirian tetap bersama kita," kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hasan berhubung penyertaan Khairy dalam PN.
Beliau berkata, Khairy sudah menemui Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini iaitu dalam bulan Jun ini. Katanya, bekas Ahli Parlimen Rembau itu sudah menyatakan pendirian akan tetap menjadi pengundi di Negeri Sembilan. "Dia dah jumpa (Muhyiddin) dan akan berjumpa lagi dalam masa terdekat, itu perkembangan terbaru, namun setakat ini belum ada keputusan (penyertaan KJ dalam PN/Bersatu). "Tapi saya percaya dalam waktu terdekat," katanya ketika ditemui selepas Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan PN, di Senawang, malam tadi.
Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kepada Khairy. Tawaran dikemukakan selepas Khairy dipecat daripada Umno, mengambil kira kemampuan beliau memberi sumbangan bagi memperkukuhkan kedudukan Bersatu, selain ketokohannya sebagai pemimpin politik muda. Takiyudin berkata, PN mengharapkan Khairy dapat bersama dalam gabungan itu kerana ketokohan dan ketrampilan beliau dalam kepemimpinan kanan Umno. Mengulas mengenai kemungkinan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, akan diletakkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, beliau tidak menolak kemungkinan itu. Beliau yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, setakat ini, Annuar tidak memberikan sebarang syarat apabila beliau diterima sebagai ahli Pas. Negeri Sembilan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN termasuk Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT