Kangar: Tiga lelaki yang ditahan sejak 3 Jun lalu kerana disyaki menipu seorang suri rumah membabitkan barang kemas bernilai RM19,000 dengan cara memukau di Pasar Besar Perlis, Sena, di sini, turut dikehendaki atas kes sama di beberapa negeri lain.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata ketiga-tiga suspek termasuk seorang warga Indonesia yang berusia 52 hingga 65 tahun itu turut dikehendaki di negeri lain atas jenayah penipuan menggunakan modus operandi sama. "Reman mereka sudah pun tamat dan kita sudah melengkapkan siasatan namun suspek termasuk seorang warga Indonesia dan seorang pemastautin tetap belum lagi dapat dituduh di mahkamah sebab mereka dikehendaki di beberapa negeri lain atas jenayah yang sama. "Polis percaya kumpulan ini aktif melakukan jenayah penipuan sejak dari awal tahun ini. Di Perlis sahaja, terdapat dua laporan polis dibuat berhubung penipuan yang dilakukan.
"Suspek menggunakan modus operandi memujuk sebelum memperdaya mangsa dengan menawarkan khidmat pemulihan kesihatan kepada mangsa. Kerugian bagi kedua-dua kes berkenaan dianggarkan sekitar RM24,000," katanya ketika dihubungi hari ini. Katanya, berdasarkan semakan pihaknya juga mendapati dua suspek termasuk seorang pemastautin tetap negara ini mempunyai rekod jenayah lampau. "Suspek warga tempatan berusia 56 tahun didapati mempunyai rekod jenayah membabitkan pecah rumah, samun dan cabul. Rakannya, berusia 64 tahun dan pemastautin tetap Malaysia juga berasal dari Indonesia didapati mempunyai rekod jenayah silam membabitkan kes curi dan imigresen kerana melindungi pendatang asing tanpa izin. "Kita sudah serahkan suspek kepada polis di kontinjen lain untuk meneruskan siasatan mereka," katanya. Pada 3 Jun lalu, polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia kerana disyaki menipu seorang suri rumah dan melarikan barang kemas milik mangsa bernilai RM19,000 di Pasar Besar Perlis, di Sena, Kangar. Dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa berusia 51 tahun itu dipercayai dipukau selepas didatangi dua lelaki, seorang daripadanya warga Indonesia yang tidak dikenali menawarkan kepadanya pemeriksaan perubatan. Sumber: BH Online
|
antikorok replied at 10-6-2023 03:27 PM
So, bila nak halau balik negara asal? Dah ada rekod lampau pung masih bebas bergentayangan di tanah ...
ADVERTISEMENT