Pelantikan Datuk Hans Isaac oleh Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi sesi 2023/2025, dipertikai. Kredibilitinya dipersoalkan netizen di media sosial.
"Sebelum ini, saya yang dah berpengalaman sebagai anak seni selama 30 tahun pun menerima kecaman ketika menjadi Pengerusi Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia). Jadi, saya rasa, lebih baik saya buat kerja saya dan lama-kelamaan, orang akan tahu selepas melihat hasil kerja itu. "Rakyat ada pendapat masing-masing. Bila kita hasilkan filem atau lagu pun, kita tak dapat puaskan hati semua orang dan akan ada orang yang tak suka. Jadi, dalam jawatan begini pun, konsepnya sama dan kita hormati pandangan mereka," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Hans, jawatan barunya itu bersesuaian dengan bidang kepakaran dan pengalamannya dalam industri hiburan serta stadium yang menjadi lokasi penganjuran pelbagai acara besar. "Ini adalah forte saya, yang mana terbabit dalam industri penganjuran dan lokasi acara serta industri seni. Contohnya, Stadium Nasional dan Axiata Arena, bukan sahaja digunakan untuk acara sukan, tetapi juga acara lain. "Stadium adalah lokasi bukan sahaja acara sukan, tetapi seni dan hiburan tempatan serta antarabangsa. Lokasi ini semuanya adalah hak milik rakyat. Jadi, kita kena ikut, apa kehendak rakyat," katanya.
Tugas dan jawatannya berkuat kuasa pada bulan ini dan akan melaksanakan tugas yang diamanahkan itu sebaik mungkin. "Tugas saya berkuat kuasa pada bulan ini (Jun) selepas Menteri KBS, Hannah Yeoh mengumumkan mengenai perkara ini beberapa hari yang lalu.
"Skop kerja saya adalah untuk mengendalikan ahli lembaga pengarah perbadanan dan juga hala tuju perbadanan mengikut akta serta kehendak Menteri. "Segala keputusan bukanlah daripada saya sahaja, sebaliknya, perlu mengambil kira 14 individu lain yang berada dalam lembaga pengarah perbadanan ini," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|