Datin Alyah mendedahkan pernah berdepan dengan pengalaman mistik ketika mendendangkan lagu keroncong beberapa tahun lalu apabila diganggu dengan suara aneh sehingga demam. Akibat gangguan tersebut, dia tiba-tiba jatuh sakit sehingga demam selepas selesai menyanyikan lagu keroncong berjudul Alunan Biola.
“Pengalaman ini terjadi sekitar awal tahun 2000-an sewaktu saya merakamkan lagu Alunan Biola dalam studio Rentak 50 di Angkasapuri, RTM. “Saya ingat lagi ketika saya menyanyikan rangkap pertama, tiba-tiba ada suara lain yang menyahut nyanyian saya. “Bila saya mengadu pada ‘soundman’, dia beritahu memang sebelum ini pernah ada penyanyi lain mengalami pengalaman serupa,” kata Alyah kepada Kosmo! Online.
Ketika pulang ke rumah, Alyah berkata seluruh badannya menggigil dan demam pada keesokan harinya. “Esoknya saya terus demam. Pengalaman ini memang saya akan ingat sampai bila-bila,” ujarnya. Berkongsi penglibatannya dalam Konsert Keroncong Malaysia yang bakal diadakan pada 5 dan 6 Ogos nanti di Istana Budaya, isteri kepada maestro muzik, Datuk Ramli MS itu mengakui teruja untuk terlibat dalam konsert tersebut kerana sudah lama tidak menyanyikan lagu-lagu berentak keroncong. Lebih membuatkan Alyah teruja apabila dia bakal berkongsi pentas bersama barisan penyanyi legenda terkenal seperti Datuk Yusni Hamid dan Datuk Khadijah Ibrahim.
“Pada konsert itu nanti saya akan menyanyikan dua buah lagu keroncong. Judulnya saya tidak mahu beritahu lagi. “Bila saya dapat tawaran untuk terlibat dalam konsert ini, saya rasa sangat seronok sebab dah lama saya tidak menyanyikan lagu keroncong. Saya kena berlatih dan asah semula nyanyian keroncong," katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Keroncong Malaysia di Istana Budaya, semalam. Selain Alyah, Yusni Hamid dan Khadijah Ibrahim, konsert selama dua hari itu turut menampilkan penyanyi rock legenda, Datuk Awie serta penyanyi Korea, Han Byul dan akan diiringi dengan 40 pemuzik orkestra Keroncong Irama Perindu. – CARI Sumber: Kosmo
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|