Penumpang pesawat penerbangan China Airlines mencetuskan kekecohan apabila memarahi dan mencerca pramugari yang tidak berkomunikasi dengan bahasa Jepun. Kekecohan itu menyebabkan penerbangan dari Fukuoka, Jepun ke Lapangan Terbang Taoyuan, Taiwan pada Sabtu tertangguh selama 40 minit sebelum polis membawa wanita berkenaan keluar dari pesawat.
Rakaman berdurasi 52 saat itu menunjukkan pramugari berkenaan terlebih dahulu dilihat bertutur dalam bahasa Inggeris dan meminta penumpang terbabit duduk di kerusinya. Namun, wanita Jepun berkenaan kemudiannya menjerit dan berkata: "Saya tidak gembira bertemu dengan anda sama sekali, ini benar-benar pengalaman yang buruk," katanya. Menyedari perbuatannya dirakam, dia turut menengking seorang penumpang dan bertanya "Apa yang kau lakukan?" soalnya dalam nada tinggi. Difahamkan, punca insiden itu berlaku adalah disebabkan penumpang berkenaan tidak berpuas hati dengan pramugari terbabit kerana menggunakan bahasa China ketika bertutur dengannya.
"Ini Jepun, kita perlu menggunakan bahasa Jepun," ujarnya. Bagaimanapun, pramugari itu kekal menunjukkan sikap positif dan sopan ketika berhadapan dengan situasi tersebut. Dalam pada itu, China Airlines mengesahkan bahawa selepas pintu kabin ditutup, seorang penumpang bersikap tidak rasional apabila menghina dan menjerit ke arah pramugari serta penumpang lain di dalam pesawat berkenaan. Sumber: Majoriti
|
ADVERTISEMENT