Keputusan permohonan injunksi pengarah, Syamsul Yusof, 39, terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana, 39, akan ditentukan pada 14 Ogos ini selepas sebutan di Mahkamah Tinggi Syariah.
Peguam yang mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, permohonan injunksi itu juga sudah ditukar kepada inter-parte mahkamah meneliti kedua pihak berbanding ex-parte atau sebelah pihak sebelum ini. "Kami juga sudah memaklumkan kepada pihak hakim supaya senang berbincang berkenaan isu-isu. Ada kemungkinan perkembangan terkini kalau semuanya berjalan lancar, mungkin akan rekodlah. "Sama ada injunksi itu dikekalkan atau diketepikan sehingga akhir, mahkamah akan telitilah alasan-alasan kedua-dua pihak sebab injunksi yang diperoleh tempoh hari adalah daripada satu pihak. "Jadi ia ditukar kepada inter-parte dan hakim akan dengar daripada kedua-dua pihak. Hakim akan buat keputusan sama ada diperlukan atau sebaliknya," katanya kepada Harian Metro.
Akberdin berkata, pihaknya memang membantah injunksi yang diminta Syamsul dan disebabkan itu mereka memasukkan afidavit jawapan pada sebutan hari ini. "Ini adalah kebebasan bersuara dan tak bolehlah kekang. Kebebasan bersuara di bawah perlembagaan persekutuan kan. Kita tak boleh aibkan, fitnah orang lain asalkan kita jaga perimeter itu, kita boleh bersuaralah," katanya. Akberdin memaklumkan pihaknya juga sedang berunding untuk kes-kes lain di samping kes hari ini. Katanya asas kepada injunksi itu adalah nusyuz dan tiada apa-apa kes baharu berbangkit. Sementara itu, peguam Syamsul iaitu Azmi Mohd Rais memaklumkan sudah menerima afidavit jawapan daripada pihak Puteri Sarah. "Hakim mengarahkan untuk memasukkan hujah dan keputusan berkenaan dengan perintah injunksi ini adakan diputuskan pada 14 Ogos," katanya. Pada tarikh terbabit, kedua pihak perlu hadir. Terdahulu, pada 28 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini, membenarkan permohonan Syamsul untuk mendapatkan perintah injunksi lanjutan terhadap Puteri Sarah sehingga hari ini. Ia adalah perintah menghalang Puteri Sarah daripada memuat naik, mengeluarkan, menulis, menerbit, menyebarkan, menghebahkan atau menyalurkan sebarang keterangan berhubung kes cerai dan nusyuz pasangan itu dalam apa jua bentuk atau medium. Injunksi berkenaan adalah lanjutan kedua yang dimohon oleh Syamsul dibuat secara ex-parte atau sebelah pihak. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT