Sam yang melakonkan watak Inspektor Khai berkata, dia sangat terharu dengan sokongan diberikan penonton tempatan terhadap filem Melayu. Katanya, dia tidak sangka penonton kita sanggup mencetus fenomena menolak filem luar untuk ditonton dan memilih Polis Evo 3.
"Alhamdulillah syukur dan perasaan saya begitu terharu dengan sokongan diberikan penonton terhadap filem Polis Evo 3 yang setakat ini sudah mencatat kutipan RM41.3 juta. Saya melihat rakyat Malaysia kini memberi sokongan padu kepada karya tempatan. "Mereka sanggup tolak untuk menonton filem dari luar dan menyokong Polis Evo 3 yang saya akui tidak disangka mampu mencatat kutipan sejauh ini. Malah, sebanyak tiga naskhah filem Polis Evo saya terbabit, sentuhan Syafiq yang ini agak sempurna," katanya kepada Harian Metro. Ditanya jangkaan kutipan Polis Evo 3 mampu mencecah RM100 juta, Sam berkata, kalau ada rezeki tidak mustahil. Katanya, setakat ini pun apa yang diketahui ramai juga penonton ke pawagam menonton secara berulang.
Filem aksi, Polis Evo 3 arahan Syafiq Yusof boleh mencatat kutipan 'box office' sehingga RM100 juta sebagaimana kejayaan besar Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sekiranya penonton filem tempatan terus memberikan sokongan padu dan permintaan berterusan di pawagam. Apatah lagi, dalam tempoh 12 hari tayangan, filem membariskan pelakon berkaliber seperti Zizan Razak dan Sharnaaz Ahmad itu berjaya mencatat kutipan pecah panggung terkini sebanyak RM41.3 juta. "Bagi saya, tidak mustahil untuk filem Polis Evo 3 mencatat kutipan sehingga RM100 juta kalau sudah rezeki daripada Allah. Malah, saya berterima kasih kepada penonton yang menyokong filem ini hingga fenomena walaupun saya tahu ekonomi sekarang tidak menentu," katanya. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT