Penyanyi dan pelakon, Datuk Awie, 55, tampil dengan filem genre komedi seram berjudul Sue-On sebagai tanda mengenang kembali jasa pengarah Allahyarham Mamat Khalid. Kata Awie atau Ahmad Azhar Othman, pengarah itu juga yang telah memperkenalkan namanya sebagai seorang pelakon komedi menerusi filem-filem terdahulu seperti Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.
Katanya lagi, dia menghasilkan filem tersebut adalah bagi meneruskan legasi arwah. “Apa yang pernah arwah buat dahulu kami akan teruskan. Watak dalam filem-filem komedi lakonan saya sebelum ini diterima baik oleh penonton sedangkan saya bukan pelakon komedi. “Jadi saya perlu mengambil peluang menghasilkan filem genre sebegini dan dengan itu maka adanya Sue-On,” katanya. Selain bertindak sebagai penerbit, Awie turut membintangi filem ini bersama barisan pelakon lain seperti Reen Rahim, Ropie, Azlee Senario, Nazia Mustafar dan Achey selain penampilan khas Erra Fazira.
Mengharapkan kejayaan dan sambutan hangat penonton Awie juga mahu menerbitkan lebih filem sebegini di masa akan datang.
|
ADVERTISEMENT