Tular pendedahan seorang penumpang yang menggunakan perkhidmatan e-hailing yang popular di Pakistan. Menerusi ciapan di Twitter, dia berkongsi video memaparkan pemandu berkenaan memegang bahagian kemaluannya tanpa henti.
Malah, dia dikatakan sering memandang penumpang sehingga menimbulkan perasaan takut serta tidak selesa. "Kawan baik saya menempah kenderaan dan pemandunya sentiasa melakukan ini (seperti dalam video) selain sering memandangnya. "Perbuatan tersebut membuatkannya berasa sangat tidak selesa pada masa itu... apabila kita menyatakan benci lelaki, sebenarnya ia merujuk kepada lelaki sebegini," ciapnya. Menjengah ke ruangan komen, pihak pengurusan syarikat itu tampil memberi maklum balas susulan tularnya rakaman tersebut. Bagaimanapun syarikat itu seolah-olah memandang ringan isu ini apabila warga maya memintanya mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.
Pada masa sama syarikat itu turut menyatakan aplikasi yang disediakannya mempunyai butang panik untuk membuat panggilan terus kepada polis. "Hello! Keselamatan adalah salah satu keutamaan kami. Semua pemandu kami menjalani pemeriksaan dokumen mandatori semasa pendaftaran. "Sejarah mahupun geografi panggilan serta pesanan direkodkan dan mudah dikesan. Aplikasi ini mempunyai butang panik untuk panggilan pantas kepada polis," tambahnya. Terdahulu penumpang terbabit telah diminta untuk tampil memberikan butiran maklumat supaya tindakan dapat diambil terhadap pemandu tersebut. Meskipun kejadian berlaku di luar negara, namun gangguan seksual yang dirakam penumpang terbabit tular dan mendapat perhatian warga maya di Malaysia. Paling mengejutkan apabila salah seorang pelayar mendakwa bahawa syarikat ini turut beroperasi di Malaysia namun tidak mempunyai lesen yang sah sebagaimana e-hailing yang lain. Dia juga memaklumkan bahawa pihak polis tidak akan mengambil maklum sekiranya berlaku insiden tidak diingini. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT