ETALING JAYA – Boleh pula sesat sebab naik lori sayur, seekor kucing dikenali sebagai ‘Oyen’ hampir dibawa ke Singapura. Menurut ciapan yang dimuat naik @syftn_, kucing peliharaannya itu ditemui pemandu lori ketika dalam perjalanan untuk pemeriksaan pihak berkuasa negara jiran.
Terkejut dengan kehadiran Oyen, pemandu lori tersebut bertindak mengurungnya dalam sangkar buat sementara waktu untuk tujuan keselamatan. “Selepas itu, pemandu lori minta tolong kakak ipar saya yang bekerja di bahagian eksport di Singapura untuk membawa balik. Pada awalnya, mereka cuba mencari pemilik Oyen kerana dia memakai rantai dan sangat jinak. “Saya ada membuat hantaran di Facebook. Lama kami menunggu, tetapi tiada siapa yang ‘claim’ (tuntut). Oleh sebab itu, kami sekeluarga ambil keputusan untuk menjaganya. “Pada malam pertama, Oyen langsung tidak berbunyi. Dia hanya merayau sekeliling rumah. Apapun, kini Oyen sebahagian daripada ahli keluarga kami. Walaupun awak (Oyen) suka kacau orang masak dan makan, kami sekeluarga tetap sayang,” katanya.
Hantaran tersebut juga menarik ramai minat peminat kucing yang tersentuh hati dengan tindakan pemilik Twitter berkenaan dan turut memuji sifat ihsan pemandu lori berkenaan. “Terima kasih sebab sudi jaga Oyen yang comel ini. Semoga Allah permudahkan urusan awak,” kata Athira. “Selalunya kucing yang cari dan pilih ‘owner’ (tuan). Pandai dia cari awak, dia tahu awak boleh jaga dia dengan baik,” ujar Nadia pula. “Bagus pemandu lori. Kalau orang lain, silap-silap dia lepaskan tepi jalan sahaja,” kata seorang lagi pengguna lain. – CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT