Tiga puluh tahun dalam industri seni, kuantiti bukan lagi menjadi fokus utama Riezman Khuzaimi. Dulu bolot semua tawaran, kini Riezman lebih selektif. Bukan bayaran yang menjadi keutamaan, tetapi ia lebih kepada kepuasan dan juga kualiti.
"Memang jarang kelibat saya muncul di kaca televisyen (TV) sejak kebelakangan ini. Adalah satu dua projek drama dijayakan, tahun lalu. "Tawaran ada, tetapi saya terpaksa tolak kerana kebanyakan tawaran watak sama sahaja. "Ada juga yang tidak bersesuaian dengan usia. Pada peringkat usia separuh abad ini, kalau nak pegang watak bapa kena tengok juga siapa anaknya.
"Takkanlah saya nak jadi bapa kepada Datuk Adi Putra. Nampak tak kena pula. Saya juga bukanlah seorang berkira soal harga. "Dalam keadaan ekonomi hari ini, saya tak boleh 'demand' harga. Perkara ini masih boleh dibawa berbincang," katanya kepada BH Online. Tambah Riezman, dengan pengalaman yang ada, sudah tiba masanya untuknya menjaga nilai eksklusif dan hanya akan muncul jika watak diberikan mampu memberi impak dalam kerjaya seninya.
"Saya ingin mengikut jejak langkah Datuk Rosyam Nor dan Datuk Seri Eizlan Yusof yang jarang muncul di kaca TV, tetapi bila sesekali berlakon, impaknya cukup besar. "Sudah tiba masa untuk saya menjadi lebih eksklusif dan hanya terima watak yang mampu memberi nilai tambah dalam kerjaya seni saya," ungkap aktor kelahiran Taiping, Perak ini. Jika sebelum ini Riezman turut bergelar penerbit dan pengarah, namun pemilik nama lengkap Mohd Rizman Mohd Khuzaimi, 53, ini dilihat cuba berjinak-jinak dalam bidang penganjuran konsert, tahun ini.
Untuk projek pertamanya, pelakon filem Tanda Putera dan Baik Punya Ah Long ini akan menganjurkan konsert dangdut yang menyaksikan gabungan artis dari Malaysia dan Indonesia. "Saya bersama seorang rakan kongsi merancang menganjurkan konsert dangdut di Malaysia. Kami memilih irama dangdut selepas melihat potensi dan mempunyai ramai peminat. "Antara artis yang bakal menjayakan konsert itu adalah Baby Shima dan Ani Mayuni mewakili artis Malaysia, manakala artis Indonesia pula membabitkan Siti Badriah dan Fitri Carlina. "Saya juga sedang berusaha membawa penyanyi Hesty Klepek-Klepek untuk konsert ini nanti. Pengumuman rasmi konsert akan dibuat dalam masa terdekat ini," ujar Riezman. Menyedari konsep dangdut sering dikaitkan dengan unsur seksi, Riezman memaklumkan peringatan sudah diberikan kepada pihak pengurusan artis supaya tidak mengenakan pakaian atau mempamerkan aksi yang mencolok mata. "Bila cakap soal muzik dangdut ini, tak dinafikan pasti akan dikaitkan dengan imej seksi si penyanyi. "Disebabkan tidak mahu konsert dikecam netizen, saya sudah berpesan kepada artis supaya menjaga penampilan dan tidak kelihatan terlalu seksi," katanya. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|