Usaha keras Shaheizy Sam mendapatkan ‘six pack’ didorong keinginan memiliki imej pegawai polis ideal seperti dibayangkan banyak orang. Sam atau lebih gemar disapa Sam mengakui sebelum menjalani penggambaran, berat badannya mencecah 85 kilogram (kg).
Tidak mahu memfokuskan tentang bentuk badan ideal dambaan setiap lelaki, Sam menjelaskan bahawa babak tidak berbaju dalam filem berkenaan sekadar satu aspek yang mungkin boleh dijadikan motivasi buat khalayak. Dia juga yakin setiap orang mampu memiliki bentuk badan yang diingini jika menyuntik sedikit usaha, selain menjaga pemakanan seharian. “Sebenarnya saya sudah banyak kali turunkan berat badan dan tahu kemampuan untuk melakukannya lagi. “Bagaimanapun, babak ‘belanja’ badan bagi saya lebih kepada memberikan motivasi kepada orang luar sana untuk meyakinkan mereka juga mampu menurunkan berat badan.
“Namun, perkara tersebut bergantung atas pemikiran masing-masing dan selagi ada alasan tidak boleh, selagi itu anda tidak mampu mencapai apa yang diidamkan,” katanya kepada HibGlam. Menjawab skeptikal netizen, mendakwa proses penurunan berat badan Sam turut disokong kewangan stabil, bapa kepada tiga orang anak itu ada jawapannya. Kata aktor Bini-Biniku Gangster itu, pembantu peribadinya juga turut hilang berat badan selepas mengikuti cara diet yang diamalkan. “Ramai cakap saya mampu buat sebab ada duit tetapi tidak. Buktinya pembantu peribadi saya juga mengikut cara diet saya sehingga mampu kurus. “Dia juga tidak pernah kurus sebelum ini dan berpuas hati dapat menurunkan berat badan,” jelasnya. Sam berharap dapat memberi suntikan semangat kepada orang ramai untuk mendapatkan berat badan ideal demi menjaga kesihatan diri. “Sekarang saya cuma tumpukan terhadap kecergasan fizikal dan bukan mahu mengekalkan ‘six pack’ sepanjang masa. “Inilah masanya untuk fikir mengenai kesihatan diri. Bukanlah saya cakap badan besar tidak elok tetapi saya pernah melalui fasa tersebut. “Berat saya pernah mencecah 90 kg, saya jadi cepat penat dan nafas tercungap-cungap. Selepas sahaja berat turun, saya seronok kerana badan rasa ringan,” ujarnya. Menceritakan detik awal membina badan untuk kelihatan seperti pegawai polis handalan demi sekuel ketiga Polis Evo, pemilik nama lengkap Shaheizy Sam Abd. Samad memaklumkan proses penurunan berat badan bermula semasa menjalani penggambaran pada 2019.
|
ADVERTISEMENT