Demi mendapatkan perut berotot ‘six pack’, dia sanggup menolak hidangan tertentu buat sementara waktu.
“Apabila pihak produksi panggil saya untuk menjalani penggambaran, saya mulakan ‘diet mood’.
“Daripada berat 90kg saya cuba turunkan berat badan semasa mula menjalani penggambaran dan dalam masa dua minggu saya sudah dapat hasil ‘six pack’.
“Sebelum sampai tahap babak buka baju, saya mula fokus makan makanan sihat yang tiada kandungan minyak dan gula serta pergi ke gimnasium,” katanya usai tayangan perdana Polis Evo 3 baru-baru ini.
Dedah Sam juga, dia merupakan individu yang suka menikmati makanan dalam jumlah banyak.
Sepanjang tempoh membina badan, suami kepada pelakon Syatilla Melwin itu ‘puasa’ makan iaitu menolak makanan yang kurang semata-mata untuk adegan buka baju.
Namun, selepas menjayakan babak tersebut, pelakon berusia 41 tahun itu mula balas dendam dengan menikmati pelbagai makanan yang diinginkan.
“Sebenarnya, malam sebelum menjalani penggambaran belanja badan, saya sudah menempah kambing golek, apam balik dan beberapa makanan lain untuk buka gerai di set.
“Ibaratnya seperti pasar malam di situ kerana saya mahu menjamah semua makanan yang saya elakkan sebelum ini.
“Selepas selesai babak tersebut, saya ajak semua kru makan bersama,” luahnya teruja.
Sumber: Kosmo Online