Fahmi Fadzil menggesa stesen Awesome TV segera menyelesaikan isu bayaran tertunggak seperti mana yang disuarakan banyak pihak sebelum ini. Menteri Komunikasi & Digital itu berharap perkara terbabit dapat diselesaikan secara baik tanpa melibatkan penguatkuasaan undang-undang.
“Saya gesa pihak Awesome TV segera selesaikan isu ini. “Saya faham ada yang mengemukakan tindakan sivil, tetapi saya harap pihak-pihak terlibat dapat duduk semeja dan berbincang. “Kalau dibincang secara baik, semua akan dapat manfaat,” katanya kepada mStar. Dalam masa sama menurutnya pihak Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) yang sebagai pengeluar lesen diminta untuk memantau beberapa perkara. “Kita dapati pihak Awsome TV telah melanggar syarat perlesenan. Saya sendiri telah mengadakan pertemuan dengan mereka pada 15 Mei dan minta segerakan isu tunggakan. “Saya juga minta SKMM terus memantau beberapa perkara dan isu ini perlu disegerakan,” ujarnya. Tambah Fahmi isu yang berlaku turut memberi kesan kepada agensi di bawah kementeriannya iaitu My Creative Venture yang bertindak memberi dana kepada produksi. “Isu ini sangat penting. My Creative Venture mengadu sejumlah produksi telah menerima dana untuk menghasilkan kandungan. “Isu ini memberi kesan terhadap pinjaman yang telah dibuat. Saya juga telah minta maklumat terperinci,” jelasnya. -CARI Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT