Sejak kebelakangan ini golongan selebriti wanita yang tidak menjalani tempoh berpantang dengan sempurna selepas melahirkan anak menjadi bualan dalam kalangan netizen yang meluahkan rasa bimbang ia akan menjadi ikutan masyarakat.
Turut terkena tempiasnya adalah usahawan dan isteri kepada Datuk Seri Aliff Shukri Kamarzaman iaitu Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid yang dilihat tidak berpantang selepas melahirkan anak keenamnya pada 3 April lalu. Menjawab isu berkenaan, Shahida, 38, berkata, dia mampu keluar bekerja selepas 14 hari melahirkan anak kerana lebih kenal keupayaan tubuh badannya dan cara berpantang setiap individu adalah berbeza. "Alhamdulillah sampai sekarang masih lagi sihat... kita hanya keluar beberapa jam meraikan pekerja sahaja, selepas itu saya balik," katanya kepada mStar. Shahida berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Aqiqah serta Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kota Damansara pada Sabtu.
Dalam pada itu, Shahida menjelaskan dia masih mengamalkan berpantang cara orang lama namun apa yang berbeza adalah dia keluar untuk bekerja. Jelasnya, bagi memastikan badannya sihat, dia juga turut mengamalkan gaya hidup sihat serta menjaga pemakanan dan tidak hanya bergantung kepada kaedah berpantang selama 40 hari.
|
ADVERTISEMENT