Mayat membengkak seorang lelaki ditemukan di tebing Sungai Kelantan di Pasir Pekan, petang semalam. Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah, berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat yang sudah berbau itu pada jam 3.30 petang.
"Mayat dijumpai keadaan terapung dan hanyut dibawa arus sungai serta berpakaian lengkap. "Tiada tanda luka jelas pada badan namun keadaannya sudah membengkak dan berbau. "Mayat dibawa ke tebing sungai oleh pasukan bomba untuk mengelaknya daripada hanyut dibawa arus sebelum dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan, hari ini. Hasil bedah siasat yang mangsa berusia 28 tahun itu meninggal dunia akibat lemas dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. Amran berkata, siasatan polis mendapati mangsa dipercayai melarikan diri ketika serbuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan di tebing sungai di Kampung Pasir Pekan Tengah di sini, kelmarin.
"Mayat diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian," katanya. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT