Kru kabin dipecat Cathay Pacific Airways susulan aduan membabitkan kakitangannya yang didakwa mendiskriminasi penumpang yang tidak bertutur dalam Bahasa Inggeris. Portal BBC melaporkan, tindakan itu diambil selepas tular klip audio kru kabin terbabit yang seolah-olah mengejek penumpang berkenaan.
Syarikat penerbangan berpangkalan di Hong Kong itu menjalankan siasatan dalaman dan memohon maaf. Media kerajaan China mendakwa syarikat penerbangan itu memandang rendah rakyatnya. Seorang penumpang dalam perjalanan dari Chengdu ke Hong Kong berkata, kru kabin mengejek penumpang yang tersilap meminta carpet (permaidani) dan bukannya blanket (selimut). "Jika kamu tidak boleh menyebut blanket (selimut) dalam Bahasa Inggeris, kamu tidak boleh memilikinya. Carpet (permaidani) ada di atas lantai," kata seorang pramugari kedengaran ketawa sambil memberitahu rakan sekerjanya dalam klip audio yang tular.
Insiden itu mengundang kecaman pengguna media sosial di China, dengan beberapa pengguna mengancam untuk memboikot Cathay Pacific. Sementara itu, Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee juga berkata, insiden itu menyinggung perasaan rakan senegara di Hong Kong dan tanah besar China. Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan itu, Ronald Lam memohon maaf atas insiden itu dan berkata, beliau sendiri akan mengetuai pasukan petugas untuk menjalankan semakan ke atas cara pengendalian syarikat itu. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT