Riezman Khuzaimi alami penyakit slip disc sejak April lalu dan terpaksa bergantung kepada penggunaan pendakap leher. Katanya dia mula mengesan penyakit tersebut apabila tiba-tiba terasa sakit di bahagian tengkuk ketika bangun untuk bersahur pada Ramadan lalu.
"Saya mula kena seminggu berpuasa. Nak bangun sahur tiba-tiba tangan sebelah kanan tak boleh gerak dan tak rasa apa-apa. "Mulanya ingatkan sakit saraf dan pergi ke klinik. Kemudian saya lakukan pemeriksaan lanjut di hospital dan doktor sahkan saya mengalami masalah slip disc," katanya kepada mStar.
Faktor yang menyumbang kepada berlaku masalah ini berkemungkinan akibat aktiviti hariannya yang selalu menghadap skrin komputer dan telefon pintar. Riezman bagaimanapun dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang pembedahan kerana berisiko mengancam nyawanya.
"Mungkin disebabkan postur badan selalu menunduk menyebabkan berlakunya masalah ini. Kata doktor ramai yang mengalami isu begini. "Disebabkan sakit ini pada bahagian tengkuk doktor tak nasihatkan untuk buat pembedahan. Kalau bedah keberangkalian sembuh 50-50... itu juga boleh mengancam nyawa. "Jadi sekarang ini memang saya buat fisioterapi sahaja. Penyakit ini boleh sembuh tapi ia juga boleh datang kembali pada bila-bila masa," jelasnya.
Sementara itu, Riezman mengakui kesakitan yang ditanggung sedikit sebanyak mengganggu emosinya kerana dia kini menjadi seorang yang cepat marah. Dia juga tidak lagi boleh melakukan aktiviti kesukaan seperti menunggang motosikal dan terpaksa mencari hobi bersesuaian.
"Awal-awal dahulu memang sangat emosi. Rasa nak cepat marah. Maklumlah apabila tiba-tiba berlaku perubahan dalam diri secara tiba-tiba. "Sekarang ini saya terpaksa tukar aktiviti harian. Dah tak boleh nak ride sebab halmet berat dan boleh beri kesan,” jelasnya. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|