Suhu badan mencecah 40 darjah celcius, Aiman Tino dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Johor sejak malam Sabtu lalu akibat demam denggi. "Sepatutnya saya ke Johor ini untuk menjalani penggambaran telemovie. Tapi pada hari Rabu saya dah mula demam. Khamis dan Jumaat saya hanya duduk berehat di hotel saja.
"Saya mula shooting Isnin lepas dan Rabu tu dah mula tak sihat terpaksa ambil cuti dua hari. Sabtu saya sambung kerja ingat dah betul-betul sihat tapi malam tu saya muntah empat kali. "Pergi hospital bila doktor check tekanan darah rendah dan badan terlalu panas sehingga cecah suhu 40 dan keputusan darah keluar doktor beritahu saya kena denggi," katanya kepada mStar. Aiman memberitahu pada awalnya dia dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu dan kemudiannya dipindahkan di Hospital Pakar KPJ Johor.
Dia turut ditemani oleh isterinya iaitu Che Syarah Haifah Che Isa, 24, sepanjang berada di Johor. "Sekarang ini saya di Johor dengan isteri saya. Dia yang pantau keadaan saya di sini sekarang," ujarnya.
Aiman bagaimanapun memaklumkan keadaannya kini semakin pulih dan berharap dapat meneruskan komitmen kerja kerana tidak mahu membebankan tenaga produksi yang lain. "Sekarang Alhamdulillah keadaan saya makin pulih dipantau tapi kata doktor jangkitan dah merebak ke hati jadi doktor masih buat pemeriksaan darah untuk pemantauan. "Cuma saya rasa lebih sihat dan tak macam awal-awal haritu. Kalau keadaan saya bertambah baik, mungkin sehari dua lagi boleh keluar hospital. "Saya sekarang memang fikir nak sambung kerja saja. Sepatutnya memang kami shooting direct sampai 30 haribulan," jelasnya.
Dalam pada itu, Aiman turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan menjaga kesihatan. "Saya cuma nak nasihatkan dekat orang ramai untuk lebih berhati-hati. Memang doktor pun cakap denggi tengah berleluasa sekarang.
"Jaga kebersihan sekeliling kita terutamanya kawasan perumahan dan elakkan perkara yang boleh membuat nyamuk aedes membiak," katanya. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|