Kuala Lumpur: Penyanyi, Nadeera Zaini yang juga peserta program realiti nyanyian memohon maaf kerana konsep pakaian yang kurang sesuai dengan lagu yang dipersembahkannya iaitu Rahmatun Lil' Alameen.
Menerusi hantarannya di Instagram, Nadeera atau mesra disapa dengan panggilan Nad menerima segala kritikan dengan hati terbuka untuk penampilannya saat menyanyikan lagu berkonsepkan kasih sayang kepada Rasulullah SAW itu. "Terima kasih kepada pasukan produksi, pemuzik, penggubah lagu, pasukan penata gaya dan pihak pengurusan yang memberikan Nad kerjasama yang baik. "Namun, ada yang memberi komen pakaian yang Nad gayakan kurang sesuai dengan persembahan malam ini. "Nad menyusun 10 jari memohon maaf atas kekhilafan yang terjadi. Nad terima segala komen serta saranan dengan hati yang terbuka dan berlapang dada," tulisnya.
Menurutnya, dia dan pasukannya bertungkus lumus mencari konsep yang sesuai dari pelbagai sudut untuk persembahan minggu ketiga itu. "Pada awalnya Nad keliru memikirkan konsep yang sesuai untuk lagu Rahmatun Lil' Alameen, baik dari susunan lagu, pakaian serta konsep persembahan. "Susunan lagu asal nyanyian Maher Zain kurang sesuai dengan pertandingan, jadi Nad bersama team management harus menyusun semula agar ia kena dengan 'mood' pertandingan dan sesuai dengan nada suara Nad. "Selepas berhempas pulas, akhirnya muncul dengan konsep akhir yang Nad tampilkan sebentar tadi (malam tadi)," tulisnya.
|
ADVERTISEMENT