Ramai menitipkan doa mengharapkan pendaki, Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang pada Jumaat lalu ketika menuju Kem 3 selepas berjaya menawan puncak Everest, selamat pulang ke Malaysia.
Menjengah ke ruangan Facebook milik Muhammad Hawari yang bernama Hawari Warie, rata-rata mendoakan Muhammad Hawari ditemui dalam keadaan selamat selain urusan pencariannya dipermudahkan. "Moga ALLAH permudahkan segalanya dan selamat kembali ke Malaysia," komen pengguna akaun Facebook bernama Zaihan Dahalan Fyierannisa. Pengguna akaun Facebook Sharin Omar pula berharap operasi mencari dan menyelamat (SAR) Hawari turut dipermudahkan. Selain itu, Siti Norkhadijah turut berharap perkara sama meminta semua pihak mendoakan keselamatan buat Hawari. "... diharap sahabat selamat ditemui serta ALLAH permudahkan segala urusan," katanya.
Mei Mei pula berharap Hawari sihat dan selamat manakala Anna Tok berharap pendaki Everest itu selamat kembali ke tanah air. Memetik laporan berita daripada media tempatan Nepal, The Himalayan Times (THT) pada Sabtu, Muhammad Hawari, berjaya menawan puncak Everest pada Khamis sebelum dilaporkan hilang. Pengarah Pioneer Adventure Pvt Ltd, Nivesh Karki berkata, Muhammad Hawari, 33, dilaporkan hilang pada pagi Jumaat selepas berjaya menawan puncak gunung berkenaan dan turun berehat di kem empat. Ujar Nivesh, usaha pencarian sedang giat dijalankan termasuk menyampaikan mesej ke semua kem sama ada Muhammad Hawari ada berteduh di khemah lain. Menurut sumber, Muhammad Hawari dilaporkan keluar dari kem empat secara bersendirian pada awal pagi tanpa pengetahuan malim gunung. Muhammad Hawari berasal dari Pulau Pinang dan kini bertugas di Muzium Pulau Pinang. Pada 2 April lalu, misi ME 2023 disertai oleh Muhammad Hawari dan tiga pendaki lain melibatkan ketua misi, Azim Afif Ishak, 35, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, dan Tiong Ling Yang, 30. Bagaimanapun Awang Askandar dilaporkan berhadapan masalah kesihatan ketika berada di paras 8,000 meter dari aras laut dan meninggal dunia di kem empat pada 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 waktu Malaysia) pada Jumaat. Sumber: Sinar Harian
|
ADVERTISEMENT