Kuala Lumpur: Tawaran khidmat badal haji RM1,000 sehingga RM3,500 ke atas adalah terlalu murah jika dibandingkan dengan permit haji yang harganya paling rendah adalah sekitar SR4,000 (RM4,800).
Justeru, Lembaga Tabung Haji (TH) meminta umat Islam di negara ini lebih berhati-hati dengan tawaran badal atau upah haji oleh agensi pelancongan mahu pun individu tertentu, untuk mengelak menjadi mangsa penipuan. Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata setiap individu dari luar Makkah perlu mendapatkan visa haji untuk melaksanakan ibadat haji yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. Berbanding penduduk tempatan pula katanya, mereka hanya perlu mendapatkan permit kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi. "Tawaran badal haji sekitar RM1,000 sehingga RM3,500 ke atas itu terlampau murah jika dibandingkan dengan harga asal permit haji yang harganya paling rendah adalah sekitar SR4,000 (RM4,800).
"Ini tidak termasuk lain-lain perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh penduduk tempatan Arab Saudi untuk menunaikan ibadat haji. "Oleh itu TH akan terus mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Syed Saleh berkata, ketika ini juga TH dan anak-anak syarikatnya tidak terbabit dalam sebarang bentuk promosi, penawaran mahupun penyediaan perkhidmatan badal haji. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT