Singapura: Sebuah kemudahan baru berskala besar untuk membangunkan dan mengeluarkan vaksin serta perubatan di Singapura dibuka secara rasmi semalam. Kemudahan pengisian Thermo Fisher Scientific yang terletak di Joo Koon Circle menelan belanja sebanyak AS$130 (RM590 juta) menurut laporan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada 2020.
Timbalan Perdana Menteri, Heng Swee Keat, dalam ucapan perasmian kemudahan terbabit, berkata ia penting kerana membolehkan pengeluaran vaksin dan perubatan secara menyeluruh di Singapura serta menyumbang kepada daya tahan rantau itu. "Kemudahan baru ini akan melengkapkan pelaburan oleh Sanofi dan BioNTech baru-baru ini... Ia akan memberi manfaat bukan saja kepada Singapura bahkan rantau Asia Pasifik yang lebih luas apabila menangani krisis kesihatan masa depan," katanya.
Kilang itu merangkumi proses pengisian peringkat akhir yang berkelajuan tinggi, automatik, serta dalam suasana yang bebas kuman. Ini membabitkan proses di mana perubatan, bekas dan tutupnya disterilkan secara berasingan dan kemudian disatukan. Ia melengkapkan keupayaan penyelidikan baru syarikat berkenaan di Pusat Pengalaman Pelanggan Thermo Fisher Scientific dan Pusat Reka Bentuk Bioproses, dua kemudahan makmal operasi lain di sini yang mempamerkan teknologi biopemprosesan, sains hayat dan analisis terkini. Sebelum pandemik COVID-19, Singapura tidak mempunyai sebarang kemudahan menghasilkan vaksin yang sedia cipta. Bagaimanapun, dalam tempoh dua tahun setengah yang lalu, lima syarikat farmaseutikal komited menubuhkan kilang di sini untuk menghasilkan lebih satu bilion dos vaksin sedia cipta setiap tahun, menjadikan Singapura sebagai hab bioperubatan yang pesat membangun di Asia Pasifik. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT