Pendakwah bebas, PU Amin, 33, meminta golongan agamawan dan selebriti berhenti berbalah membabitkan isu Konsert Coldplay di media sosial. "Dulu saya pun buat perkara yang sama berbalah dengan artis mengenai pelbagai isu semasa tetapi tiada perubahan pun. Sebaliknya, memberi impak negatif kepada golongan pendakwah.
"Setiap hari kita kecam dan kritik mereka (artis), tetap tak jadi apa pun kerana akhirnya masyarakat juga yang membuat pilihan," katanya ketika diminta mengulas perbalahan penyanyi dangdut Baby Shima dan pendakwah bebas PU Syed membabitkan Konsert Coldplay yang hangat diperkatakan ramai ketika ini. PU Amin berkata, ustaz juga terbabit dengan program hiburan tetapi tidak bersaing dengan golongan selebriti. "Ustaz juga berlakon dan pergi program hiburan, kita juga baca doa selamat di majlis pelancaran filem dan sebagainya tetapi populariti bukan menjadi keutamaan.
"Sampai bila kita nak cakap apa yang mereka buat itu tidak betul sedangkan kita tak sediakan alternatif dan bawa mereka ke jalan yang betul? "Sebagai agamawan, kita sepatutnya berusaha membentuk mereka (selebriti ) untuk menjadi yang lebih baik dan mereka (selebriti) juga boleh berlapang dada dengan kita," katanya kepada Harian Metro. Terdahulu Baby Shima berpendapat individu yang berasakan Konsert Coldplay sebagai haram tidak perlu datang untuk menonton pada November depan. Tindakannya itu mendapat perhatian netizen termasuk teguran daripada PU Syed yang mendakwa Baby Shima mengeluarkan fatwa sendiri mengenai halal dan haram sesebuah konsert. Mengulas Program Islamik Havoc Street Food Fest 2023 pula, PU Amin berkata, dia juga dilantik sebagai duta dan panel Program Ilmu Allah Tak Pernah Benci bersama Da'i Azhar yang akan berlangsung pada 2 Jun ini di Dataran Serambi Teruntum, Kuantan, Pahang. "Saya akan menjadi panel program ini bersama Da'i Azhar, manakala, acara ini akan dikendalikan oleh Syahdu Syahdan selaku moderator. "Orang ramai dijemput hadir bersama ahli keluarga dan masuk adalah percuma," katanya. Apa yang menarik, acara pada malam kedua pula akan diadakan Malam Berselawat dan Qasidah Perdana di lokasi sama membabitkan penampilan khas Habib Nael Bentaher, Habib Mahdi Alhamdi, Sheikh Mahmoud Wasobi serta Kumpulan Inteam. Program keagamaan ini akan berlangsung dari 1 Jun hingga 5 Jun depan di beberapa lokasi dijadualkan termasuk Kedah, Terengganu, Melaka, Johor dan Shah Alam. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT