Impian wanita berusia 99 tahun direalisasikan apabila dapat menjadi sasaran balingan pisau dalam satu pertunjukan sarkas yang diadakan di bandar Coventry, England. Lapor Daily Mail, Annie Duplock dari Leicestershire memasuki gelanggang di pertunjukan Zippos Circus bagi membolehkan pelempar pisau profesional melakukan aksi berbahaya itu terhadapnya.
Annie yang juga bekas pekerja sarkas, bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 dalam tempoh tiga bulan lagi. Menurut Annie, dia berasa seronok dapat menikmati semula pengalaman berani itu yang merupakan salah satu impian seumur hidupnya. Ketika pengunjung bersorak di finale Zippos Circus, Annie dilihat berdiri sambil memegang tongkat jalannya semasa berdepan aksi balingan pisau.
Anak perempuan Annie meminta pengasas sarkas, Martin Burton bagi membenarkan ibunya menjadi sasaran balingan pisau. Menurut Burton, Annie sebelum ini pernah bekerja di sarkas itu 30 tahun lalu. “Ketika itu, dia berumur 70 tahun dan kini dia bakal mencecah usia 100 tahun pada Ogos ini,” katanya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT