Pelabuhan Klang: Bagi memperbetulkan stigma masyarakat terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang ingin berubah, Mohd Khariri Mohamad Ramli menerbitkan buku bertajuk 'Maaf Tuhan Aku Tersalah Langkah'.
Mohd Khariri atau mesra disapa Cikgy Ery, 46, berkata, buku itu merangkumi perkongsian kisahnya sepanjang 12 tahun penghijrahannya selepas keluar daripada dunia mak nyah. Menurut Cikgu Ery, kisah dirangkumkan dalam buku itu sudah lama ditulis berdasarkan pengalaman masa silamnya dan bersyukur kerana akhirnya dapat diterbitkan juga. "Buku ini bukan diterbitkan untuk golongan LGBT dan yang nak berubah saja tetapi semua termasuk masyarakat di luar sana. "Ia kerana ramai yang golongan LGBT atau penagih misalnya yang nak berubah tetapi usaha mereka terbantut dek kerana kecaman dan persepsi negatif segelintir masyarakat.
"Oleh kerana itu, saya terbitkan buku merangkumi aspek menyeluruh termasuk perkongsian kepada masyarakat mengenai cara menyantuni dan berdakwah kepada golongan LGBT atau sesiapa yang ada kisah silam. "Bukan niat nak menunjuk baik tetapi sekadar berkongsi pengalaman saya sendiri yang pernah digelar isi neraka ibarat tak layak masuk syurga, "katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran di Dewan Al-Islah, di sini, hari ini. Cikgu Ery berkata, buku itu sesuai dibaca semua peringkat umur tidak kira remaja, dewasa mahupun yang sudah berusia. Justeru, dia berharap buku itu mendapat sambutan supaya usaha dakwahnya dapat disebar luas kepada masyarakat pelbagai golongan. "Saya cuba mendidik masyarakat menerusi buku kerana segelintir masyarakat di luar sana nak golongan LGBT berubah tetapi dengan cara memaksa. "Ada rakan saya dalam komuniti (LGBT) yang memang nak jadi baik tetapi dilabel negatif apabila masuk masjid dan berada dalam masyarakat. Jadi, bahan bacaan santai ini diharap membuka mata masyarakat di luar sana," katanya. Cikgu Ery berkata,buku itu tidak dijual di pasaran sebaliknya boleh dibeli secara terus dengannya. "Kita terbitkan 200 naskhah untuk edisi pertama dan setakat ini sudah terima 100 pra tempahan, syukur Alhamdulillah," katanya. Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah pengalaman berbelas tahun Cikgu Ery bergelumang dalam dunia mak nyah sebelum berhijrah. Antara inisiatifnya dalam berdakwah adalah menjadi aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Hijrah yang salah satu objektifnya adalah membantu komunitiLGBT termasuk bekas mak nyah. Beliau menggerakkan NGO hasil kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT