Labuan Bajo (Indonesia): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutarakan lima agenda semasa mesyuarat dua hala dengan Presiden Indonesia Joko Widodo termasuk lawatan rasmi, rundingan tahunan dan sempadan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri yang berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dua hari bermula esok, mengulangi jemputan untuk Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada bulan Jun ini. Cadangan tarikh adalah 19-20 Jun atau 22-23 Jun susulan lawatan rasmi perdana menteri pada 8 dan 9 Januari lalu. Dalam pertemuan di bandar Manggarai Barat, wilayah Nusa Tenggara Timur itu, Anwar turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk menyokong penganjuran mesyuarat Suruhanjaya Kerjasama Dua Hala Ke-17 (JCBC) dan Rundingan Tahunan Ke-14 (AC) yang akan dihoskan Indonesia bagi merancakkan hubungan dua hala.
Katanya Malaysia juga sedang melengkapkan prosedur-prosedur domestik bagi membolehkan Perjanjian Melintasi Sempadan (BCA) dan Perjanjian Perdagangan Di Sempadan (BTA) ditandatangani semasa lawatan Jokowi ke Malaysia atau semasa Rundingan Tahunan Ke-14. Kedua-dua perjanjian itu dimuktamadkan dan sedia untuk ditandatangani. Mengenai pembatasan sempadan maritim, Anwar menjelaskan Malaysia bersedia untuk memuktamadkan draf Triti Pembatasan Sempadan Maritim di Kawasan Paling Selatan Selat Melaka dan Triti Pembatasan Sempadan Maritim di Laut Sulawesi termasuk isu 'full breadth of territorial sea' di '40th Technical Meeting on Maritime Boundaries Delimitation' yang dijangka diadakan tahun ini. Untuk sempadan darat, Malaysia turut bersedia untuk menandatangani kedua-dua memorandum persefahaman (MoU) Pulau Sebatik dan Sinapad-Sesai di Sektor Sabah-Kalimantan Utara secara pakej tahun 2024 setelah kerja-kerja pengukuran di lapangan dan dokumentasi selesai. Semasa pertemuan 30 minit berkenaan, Anwar turut menekankan keperluan kedua-dua negara mematuhi pelaksanaan MoU Garis Panduan Bersama bagi menjaga kemaslahatan dan keselamatan nelayan-nelayan di kawasan yang masih dipertikaikan di Selat Melaka. Perkara ini terkandung di dalam MOU In Respect of the Common Guidelines Concerning Treatment of Fisherman by Maritime Law Enforcement Agencies of Indonesia and Malaysia yang dimeterai pada 27 Januari 2012. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT