Klang: Ribuan kasut pelbagai jenama terkenal tiruan yang dianggarkan bernilai RM800,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menerusi serbuan di sebuah stor di Taman Sejati dekat sini, hari ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata menerusi serbuan pada jam 1 petang itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun dipercayai penjaga stor berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut. Beliau berkata, kasut yang diimport dari luar negara itu dipercayai disimpan di stor rumah kedai berkenaan sebelum dijual sindiket menerusi media sosial. "Operasi ini dilakukan hasil risikan KPDN Selangor selama sebulan menerusi aduan awam mengenai aktiviti mencurigakan tersebut.
"Pemeriksaan lanjut ke dalam premis menemui sekitar 4,000 kasut tiruan pelbagai jenama yang melanggari peruntukan Akta Cap Dagangan 2019 yang dianggarkan bernilai RM800,000," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan itu. Beliau berkata, serbuan itu membabitkan nilai rampasan kedua terbesar pihaknya tahun ini. Jelasnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu barang cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah. "Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk individu manakala syarikat boleh didenda RM15,000 bagi setiap barangan,"ujarnya. Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata, semua kasut berkenaan dipercayai dijual dengan harga antara RM180 hingga RM400 sepasang di seluruh negara. "Siasatan lanjut akan dijalankan secara menyeluruh termasuk pemilik premis yang menyewakan premis mereka kepada sindiket ini. "Selain itu, kita juga akan menyiasat sama ada sindiket mempunyai rangkaian lain," katanya. Beliau berkata, semua rampasan dibawa ke Stor Eksibit KPDN Selangor bagi tindakan lanjut," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT